Subhanallah..
Sungguh tidak saya sangka bertemu nilai pendidikan melalui
perkongsian Blogger Saiful Nang baru-baru ini.
Di saat zaman ibu bapa Generasi-Y yang rata-rata kelihatannya mampu memenuhi kehendak
anak-anak mahukan itu dan ini, mujur masih ada ibu bapa yang 'tabah hati' agar
mendidik anak-anak agar mengenal erti kesusahan dan berdikari.
Pernah Ustaz Hasrizal mengatakan, ibu bapa zaman moden
sangat memusuhi kesusahan. Mereka sangat risau anak-anak merasa susah sehingga
semua kehendak anak-anak dituruti.
Setiap orang punya cara dalam membentuk dan melakar 'kain putih'
yang diamanahkan Allah..
Namun, sebelum berkehendakkan anak-anak yang bergred 'Mukmin
Profesional' maka, ibubapa harus terlebih dahulu menjadi lebih lagi menjadi 'Mukmin dan
Profesional' nya...
Blogger Saiful Nang juga saya lihat menerapkan 'Takrir' dan
'Taklim' dalam membentuk jiwa dan minda anak-anaknya seperti yang pernah saya
kongsikan di entri Perhimpunan Keluarga (Roll Call)
Sungguh, peranan Ibu Bapa, memang tak mudah!
Semoga jadi peringatan kepada saya untuk terus berani
menambah satu lagi peranan Khalifah-NYA, mencontohi kehebatan sebagai ibu
seperti Huma Hatun, ibunya kepada Sultan
Al Fateh dan Fatimah binti Al Hasan, ibunya kepada Imam Syafie.
--------------------------------------------------------------
HADIAH HARIJADI ANAKKU
Anak pertama saya bernama Orked. Lahir pada 20 Ogos 2008.
Permata hidup saya dan isteri. Masih teringat panggilan telefon dari isteri
mengatakan Orked jatuh dari walker dan dikejarkan ke hospital dan menerima 5
jahitan di dahi cukup buat jantung terasa nak gugur. Anak ini mahu kami jadikan
istimewa sekali.
Sudah 5 tahun berlalu, saat kelahiran Orked. Dalam hati saya
telah saya fikirkan biarlah anak ini membesar menjadi pembela dan serikandi
agama, nusa & bangsa. Semenjak umur 2 bulan, Orked diletakkan di bawah
penjagaan ibu-ibu, bapa-bapa dan adik beradik asnaf dan yatim di RUmah Pengasih
Warga Prihatin setiap hari dan hanya pulang ke rumah pada malam hari sahaja.
Saya menerima tentangan dari beberapa orang rapat saya mempersoalkan mengapa
saya korbankan kehidupan anak itu di tempat anak yatim dan asnaf yang serba
kekurangan itu?
Saya tetap berpegang, untuk anak ini belajar menjadi yang
istimewa. Jika pembentukannya sama seperti orang lain, masakan ia mampu jadi
pembela luarbiasa kelak. Tiada Barbie Doll, Hello Kitty, Dora, Barney dan
apa-apa lagi ikon kanak-kanak yang menjadi aksesori permainan Orked. Hanya
mainan terpakai sahaja yang ada.
Zaman kanak-kanak Orked dan rakannya seperti telah berakhir
dengan cepat. Orked kata dia nak jadi "Kakak Besar". Dalam roll call
dan juga ikrar harian, Orked sering memberitahu yang ia mahu cepat-cepat besar
dan menjadi seorang yang hebat pada masa akan datang. Orked kadangkala nak jadi
seorang Doktor, kadangkala nak jadi seorang Pensyarah seperti ibunya dan
adakala nak jadi seorang usahawan seperti bapanya. Tetapi apapun cita-citanya,
apabila ditanya apa yang mahu dibuat dengan kerja-kerja itu, Orked menjawab
Orked mahu TOLONG ORANG SUSAH.
JIWA SUKARELAWAN
Terus terang, ia bukan perkara mudah untuk saya sendiri
mendapatkan sedikit jiwa sukarelawan yang sanggup bersusah payah untuk orang
lain ini. Ia terbentuk dari ibu dan juga ayah saya. Saya akui juga tidak mudah
untuk saya didik isteri saya untuk mendapatkan jiwa sukarelawan seperti
sekarang. Ia berlaku peringkat demi peringkat. Rupanya, anak saya
mendapatkannya dengan mudah semenjak dari kecil lagi melalui lingkungannya di
Prihatin.
Hadiah Harijadi ke-5 ini, Orked hanya minta diizinkannya
untuk menyerahkan kesemua duit raya dan tabungannya itu kepada Mak Sofiah Wali
(salah seorang ibu asnaf di Prihatin) bagi menampung kos pembedahan lutut
beliau.
Sebagai bapa, saya tersentuh dengan izin yang diminta itu.
Apa lagi yang saya mahukan dari seorang anak? saya ada harta yang cukup, saya
mampu berikan anak saya kemewahan tetapi jiwa murni atas niat membantu orang
lain sehingga berhabis-habisan itu satu perkara yang paling indah dalam hidup
saya.
Saya mampu bawa Orked ke Disneyland setiap tahun, saya mampu
bawa Orked melancong ke luar negara, saya mampu bawa Orked membeli belah
pakaian berjenama, saya mampu belikan koleksi Mattel Barbie Doll, saya mampu
bawa Orked ke Kidzania setiap minggu, saya mampu bawa Orked makan makanan
terbaik di Kuala Lumpur tetapi jiwa luhur begitu tak mungkin saya dapati pada
diri anak kecil itu jika saya berikan kesemua yang saya sebutkan itu.
Orked hanya mengikuti rombongan berziarah Warga Emas di
Melaka, Perak dan Selangor sementara rakan yang semampu bapanya sedang bercuti
di Disneyland. Orked pakai pakaian dari kotak-kotak yang disumbangkan oleh
orang ke Prihatin sebagai pakaian yang disukai (jika dibelikan yang elok dan
baru, dia jadi malu kerana tak sama dengan rakan lain), Orked makan nasi kawah
beras hancur bersama anak-anak yatim dan asnaf yang daif ketika rakan
semampunya sedang menikmati makanan di McDonald's dan A&W. Memang sebagai
bapa saya kena tahan hati dengan semua itu.
Orked berkawan dengan orang-orang kurang bernasib baik dan
saya bersyukur, itulah sumber keprihatinan Orked. Lingkungan Orked bukan
kemewahan harta, permainan, baju berjenama tetapi kasih sayang dan ilmu.
Sebesar 5 tahun juga, Orked sudah kenal nilai wang ringgit.
Tetapi saya bersyukur kerana Orked lebih menilai kemanusiaan berbanding nilai
ringgit itu untuk dirinya. Orked saya didik menabung dari umur 3 tahun dan saya
berikan Orked inspirasi untuk dia kumpulkan wang bagi membeli sesuatu yang dia
mahukan. Orked mahukan sekeping puzzle besar 1000 potongan yang berharga lebih
RM100. Saya mampu belikannya tetapi saya mahukan Orked merasakan sendiri itu
adalah hasil simpanannya sendiri.
Benar, saya mampu mendidik anak saya menabung dan berjimat,
tetapi saya lebih bersyukur kerana pelajaran yang terbesar bukan hanya sikap
menabung itu. Saya terlupa ajarkan Orked sesuatu yang lebih berharga sehingga
ia terjadi sendiri di hadapan mata saya. Selepas izin diberi, Orked dan
sekumpulan kawan sebayanya di Prihatin membawa wang tabungan masing-masing dan
membuat penyerahan kepada Mak Sofiah yang akan menjalani pembedahan keduanya
minggu hadapan.
Ketika itu saya sedar, dan saya senyum dan tidak salahlah
saya meletakkan anak saya membesar di Rumah itu. Sebuah rumah yang kelihatan
kekurangan sarananya tetapi kaya dengan kasih sayang. Antara impian peribadi
dan kasih sayang, mereka pilih kasih sayang. Saya mahu Orked begini. Jikalah
Orked memilih untuk kemahuan peribadi berbanding kasih sayang, saya rasa hampir
pasti saya dan isteri akan mengakhiri hayat di rumah jagaan orang-orang tua.
Tetapi jika Orked meletakkan kasih sayang melebihi kepentingan peribadi, saya
dan isteri mampu tarik nafas lega.
Air mata mengalir melihat proses kedewasaan anakku yang baru
berusia 5 tahun pada hari ini. Hanya satu hadiah harijadi yang diminta sebelum
harijadinya. Bukannya permainan mahal, bukannya kek bertingkat, bukan juga trip
ke Disneyland tetapi HANYA keizinan untuk memberikan keseluruhan tabungannya
kepada orang yang lebih memerlukan. Walaupun tindakan itu terpaksa mengorbankan
impiannya sendiri.
Saya hanya mampu ajar Orked menabung, tetapi di Prihatin,
Orked belajar tentang nilai kasih sayang dan kemanusiaan.
Kita kadangkala lupa, dunia jadi huru hara apabila
"Kasih sayang" menjadi lebih murah berbanding "agenda
peribadi".
SAIFUL NANG
No comments:
Post a Comment