Tuesday, March 25, 2014

HADIAH HARIJADI ANAKKU

Subhanallah..

Sungguh tidak saya sangka bertemu nilai pendidikan melalui perkongsian Blogger Saiful Nang baru-baru ini.

Di saat zaman ibu bapa Generasi-Y yang rata-rata  kelihatannya mampu memenuhi kehendak anak-anak mahukan itu dan ini, mujur masih ada ibu bapa yang 'tabah hati' agar mendidik anak-anak agar mengenal erti kesusahan dan berdikari.

Pernah Ustaz Hasrizal mengatakan, ibu bapa zaman moden sangat memusuhi kesusahan. Mereka sangat risau anak-anak merasa susah sehingga semua kehendak anak-anak dituruti.

Setiap orang punya cara dalam membentuk dan melakar 'kain putih' yang diamanahkan Allah.. 

Namun, sebelum berkehendakkan anak-anak yang bergred 'Mukmin Profesional' maka, ibubapa harus terlebih dahulu menjadi lebih lagi menjadi 'Mukmin dan Profesional' nya...

Blogger Saiful Nang juga saya lihat menerapkan 'Takrir' dan 'Taklim' dalam membentuk jiwa dan minda anak-anaknya seperti yang pernah saya kongsikan di entri Perhimpunan Keluarga (Roll Call)

Sungguh, peranan Ibu Bapa, memang tak mudah!
Semoga jadi peringatan kepada saya untuk terus berani menambah satu lagi peranan Khalifah-NYA, mencontohi kehebatan sebagai ibu seperti  Huma Hatun, ibunya kepada Sultan Al Fateh dan Fatimah binti Al Hasan, ibunya kepada Imam Syafie.


--------------------------------------------------------------
HADIAH HARIJADI ANAKKU

Anak pertama saya bernama Orked. Lahir pada 20 Ogos 2008. Permata hidup saya dan isteri. Masih teringat panggilan telefon dari isteri mengatakan Orked jatuh dari walker dan dikejarkan ke hospital dan menerima 5 jahitan di dahi cukup buat jantung terasa nak gugur. Anak ini mahu kami jadikan istimewa sekali.

Sudah 5 tahun berlalu, saat kelahiran Orked. Dalam hati saya telah saya fikirkan biarlah anak ini membesar menjadi pembela dan serikandi agama, nusa & bangsa. Semenjak umur 2 bulan, Orked diletakkan di bawah penjagaan ibu-ibu, bapa-bapa dan adik beradik asnaf dan yatim di RUmah Pengasih Warga Prihatin setiap hari dan hanya pulang ke rumah pada malam hari sahaja. Saya menerima tentangan dari beberapa orang rapat saya mempersoalkan mengapa saya korbankan kehidupan anak itu di tempat anak yatim dan asnaf yang serba kekurangan itu?

Saya tetap berpegang, untuk anak ini belajar menjadi yang istimewa. Jika pembentukannya sama seperti orang lain, masakan ia mampu jadi pembela luarbiasa kelak. Tiada Barbie Doll, Hello Kitty, Dora, Barney dan apa-apa lagi ikon kanak-kanak yang menjadi aksesori permainan Orked. Hanya mainan terpakai sahaja yang ada.

Zaman kanak-kanak Orked dan rakannya seperti telah berakhir dengan cepat. Orked kata dia nak jadi "Kakak Besar". Dalam roll call dan juga ikrar harian, Orked sering memberitahu yang ia mahu cepat-cepat besar dan menjadi seorang yang hebat pada masa akan datang. Orked kadangkala nak jadi seorang Doktor, kadangkala nak jadi seorang Pensyarah seperti ibunya dan adakala nak jadi seorang usahawan seperti bapanya. Tetapi apapun cita-citanya, apabila ditanya apa yang mahu dibuat dengan kerja-kerja itu, Orked menjawab Orked mahu TOLONG ORANG SUSAH.


JIWA SUKARELAWAN

Terus terang, ia bukan perkara mudah untuk saya sendiri mendapatkan sedikit jiwa sukarelawan yang sanggup bersusah payah untuk orang lain ini. Ia terbentuk dari ibu dan juga ayah saya. Saya akui juga tidak mudah untuk saya didik isteri saya untuk mendapatkan jiwa sukarelawan seperti sekarang. Ia berlaku peringkat demi peringkat. Rupanya, anak saya mendapatkannya dengan mudah semenjak dari kecil lagi melalui lingkungannya di Prihatin.

Hadiah Harijadi ke-5 ini, Orked hanya minta diizinkannya untuk menyerahkan kesemua duit raya dan tabungannya itu kepada Mak Sofiah Wali (salah seorang ibu asnaf di Prihatin) bagi menampung kos pembedahan lutut beliau.

Sebagai bapa, saya tersentuh dengan izin yang diminta itu. Apa lagi yang saya mahukan dari seorang anak? saya ada harta yang cukup, saya mampu berikan anak saya kemewahan tetapi jiwa murni atas niat membantu orang lain sehingga berhabis-habisan itu satu perkara yang paling indah dalam hidup saya.

Saya mampu bawa Orked ke Disneyland setiap tahun, saya mampu bawa Orked melancong ke luar negara, saya mampu bawa Orked membeli belah pakaian berjenama, saya mampu belikan koleksi Mattel Barbie Doll, saya mampu bawa Orked ke Kidzania setiap minggu, saya mampu bawa Orked makan makanan terbaik di Kuala Lumpur tetapi jiwa luhur begitu tak mungkin saya dapati pada diri anak kecil itu jika saya berikan kesemua yang saya sebutkan itu.

Orked hanya mengikuti rombongan berziarah Warga Emas di Melaka, Perak dan Selangor sementara rakan yang semampu bapanya sedang bercuti di Disneyland. Orked pakai pakaian dari kotak-kotak yang disumbangkan oleh orang ke Prihatin sebagai pakaian yang disukai (jika dibelikan yang elok dan baru, dia jadi malu kerana tak sama dengan rakan lain), Orked makan nasi kawah beras hancur bersama anak-anak yatim dan asnaf yang daif ketika rakan semampunya sedang menikmati makanan di McDonald's dan A&W. Memang sebagai bapa saya kena tahan hati dengan semua itu.

Orked berkawan dengan orang-orang kurang bernasib baik dan saya bersyukur, itulah sumber keprihatinan Orked. Lingkungan Orked bukan kemewahan harta, permainan, baju berjenama tetapi kasih sayang dan ilmu.

Sebesar 5 tahun juga, Orked sudah kenal nilai wang ringgit. Tetapi saya bersyukur kerana Orked lebih menilai kemanusiaan berbanding nilai ringgit itu untuk dirinya. Orked saya didik menabung dari umur 3 tahun dan saya berikan Orked inspirasi untuk dia kumpulkan wang bagi membeli sesuatu yang dia mahukan. Orked mahukan sekeping puzzle besar 1000 potongan yang berharga lebih RM100. Saya mampu belikannya tetapi saya mahukan Orked merasakan sendiri itu adalah hasil simpanannya sendiri.

Benar, saya mampu mendidik anak saya menabung dan berjimat, tetapi saya lebih bersyukur kerana pelajaran yang terbesar bukan hanya sikap menabung itu. Saya terlupa ajarkan Orked sesuatu yang lebih berharga sehingga ia terjadi sendiri di hadapan mata saya. Selepas izin diberi, Orked dan sekumpulan kawan sebayanya di Prihatin membawa wang tabungan masing-masing dan membuat penyerahan kepada Mak Sofiah yang akan menjalani pembedahan keduanya minggu hadapan.

Ketika itu saya sedar, dan saya senyum dan tidak salahlah saya meletakkan anak saya membesar di Rumah itu. Sebuah rumah yang kelihatan kekurangan sarananya tetapi kaya dengan kasih sayang. Antara impian peribadi dan kasih sayang, mereka pilih kasih sayang. Saya mahu Orked begini. Jikalah Orked memilih untuk kemahuan peribadi berbanding kasih sayang, saya rasa hampir pasti saya dan isteri akan mengakhiri hayat di rumah jagaan orang-orang tua. Tetapi jika Orked meletakkan kasih sayang melebihi kepentingan peribadi, saya dan isteri mampu tarik nafas lega.

Air mata mengalir melihat proses kedewasaan anakku yang baru berusia 5 tahun pada hari ini. Hanya satu hadiah harijadi yang diminta sebelum harijadinya. Bukannya permainan mahal, bukannya kek bertingkat, bukan juga trip ke Disneyland tetapi HANYA keizinan untuk memberikan keseluruhan tabungannya kepada orang yang lebih memerlukan. Walaupun tindakan itu terpaksa mengorbankan impiannya sendiri.
Saya hanya mampu ajar Orked menabung, tetapi di Prihatin, Orked belajar tentang nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Kita kadangkala lupa, dunia jadi huru hara apabila "Kasih sayang" menjadi lebih murah berbanding "agenda peribadi".

SAIFUL NANG
Daddy Orked.

Sumber Facebook Saiful Nang




Tuesday, March 18, 2014







Bismillah Ar Rahman Ar Rahim

Alhamdulillah, Allah izinkan saya dan sahabat-sahabat lain ke Seminar Baitul Muslim 3.0. Berpeluang mengikuti Seminar Baitul Muslim 1.0. dan 2.0, ternyata tim One Heart berjaya memberi gambaran yang lebih jelas tentang konsep Baitul Muslim yang sebenarnya. Dan begitu jelas penambahbaikan yang berbanding seminar-seminar lalu.

Cuma, Seminar Baitul Muslim 2.0, terdapat satu slot yang amat meninggalkan kesan kepada saya iaitu Slot bersama Ibu Wirianingsih dari Indonesia yang membesarkan 10 anak yang kesemuanya Para Huffaz.

Subhanallah, sangat bermakna slot itu terutamanya kepada saya agar lebih mengenali al Quran.

Kembali kepada SBM 3.0, juga tidak kurang hebatnya. Begtu banyak mutiara hikmah dan ilmu sebagai bekalan untuk dipratikkan. (Semoga saya dapat amalkan dan terus menerus dapat kongsikan ilmu-ilmu kepada rakan-rakan lain)


-----------------------------------------------------------------
Tiada pasangan yang sempurna
Yang ada hanya pasangan yang tepat.
Berdoalah agar diberi pasangan & jodoh yang tepat..

(Ustaz Salim A Fillah)

 -----------------------------------------------------------------

Apakah solat yang kusyuk itu engkau menangis dalam solatmu?
Tidak.
Tetapi solat yang kusyuk itu dapat mencegah perkataan dirimu dari keji dan mungkar..
Apakah bukti solat zohormu kusyuk..? Iaitu dari solat zohor, engkau tidak berbuat keji dan mungkar hingga ke asar..
Dan begitulah solat-solat seterusnya..

(Ustaz Salim A Fillah)

-----------------------------------------------------

Komunikasi  Tanpa Suara

Ustaz Salim ke masjid namun tertinggal telefon bimbitnya di rumah.
Ustaz telahpun berada di masjid.
Sementara itu, Isteri di rumah telah menghantar SMS kepada ustaz supaya dibelikan mee.
Sedangkan telefon bimbit tiada di tangan ustaz.

Seusai solat, dalam perjalanan pulang ke rumah, ustaz berkata-kata dalam hati
"enaknya jika petang-petang ini dapat makan mee"

Lalu ustaz pun pergi membeli mee.
Sesampainya di rumah, Isterinya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kerana membeli mee seperti yang telah dipesan dalam SMS.
Ustaz menjawab " Saya tidak membawa telefon bimbit, tertinggal di rumah"

 --------------------------------------------------------

Berkahwin ketika sukar, lebih indah saatnya manis lebih diingati kemudiannya nanti...
Berbanding berkahwin ketika sudah stabil.
Kerana...saat berjuang bersama-sama ketika sukar, lebih mudah dikenang semula nanti"

----------------------------------------------------------

 Ar-Rum : 21 (Sakinah, Mawaddah, Rahmah)

"Sakinah" - Menjaga kesucian bagi kalian dari hal-hal yang dimurkai oleh Allah.

Ia bukan hal yang tidak ada marah, tiada pertengkaran atau tiada salah faham, bukan! Bukan sakinah namanya jika suami isteri tidak pernah bertengkar. 

Hadith pada kalimah "Zatiddin"
Iaitu, orang yang komited dengan agamanya dan beriltizam untuk terus belajar.

Bukan yang sempurna 100% agamanya, kerana tidak ada manusia yang sempurna.

"Mithaqan ghaliza" :
1. Perjanjian antara Allah dengan U'lul A'zmi.
2. Perjanjian antara Allah dengan Bani Israel.
3. Ikatan pernikahan.

"Litaskunu elayha"
Tenteram ketika bersama dalam ketaatan dan tenteram ketika berpisah; saling mendoakan kebaikan.

Gerakan rasuah boleh eliminated dan vanished dengan pengaruh isteri dari saranan
“Jangan bawa balik rezeqi KECUALI yang halal”

----------------------------------------------------

Seorang peserta bertanya soalan yang mendapat tepukan gemuruh.

"Memandangkan si isteri suka bersembang, suka berbicara dengan suami tetapi suami bila pulang ke rumah banyak mendiamkan diri & fokus pada gadget (social network). 

Bagaimana?"

Ayat common suami saat isteri menangis,
"Buat apa kamu menangis, ia tidak menyelesaikan masalah
Menangis itu bukan penyelesai masalah bagi lelaki, tetapi saluran menyelesaikan masalah bagi perempuan.

Kata Ustaz Salim juga…
 "ILMU suami yang paaaaaaling dicintai isteri,
ketika isteri menangis, jangan dikesat air matanya jangan disekat tangisannya TETAPI suami sediakan tempat untuk menangis bagi isterinya.

-----------------------------------------------------------------

Suami : tanggungjawabnya berterusan untuk mendidik isterinya sepanjang hayatnya selagi mana isterinya tidak menutup aurat, tidak Solat dll. sehinggalah si isteri berubah.

Isteri pula sebaliknya. Apabila isteri menegur kesilapan suami, suami tak ikut, maka terlepas tanggungjawab isteri.

(Pengurusan Jiwa -Ustaz Ridhauddin)

------------------------------------------------------------------

Ustaz, bagaimana untuk mengetahui seseorang itu soleh dan solehah atau tidak?

Mohonlah fatwa daripada hati. Hati yang dekat dengan Tuhan tidak akan menipu dengan penipuan. Banyakkan solat dan kurangkan suuzhon pada orang, maka hati akan berfatwa. Hati yang bersih akan menghasilkan keputusan yang jernih. Apabila hati tenang dan cenderung, itu tanda istikharah kita terjawab.

Tidak akan menyesal orang yang istikharah dan tidak akan rugi orang yang bermesyuarah

(Ustaz Ridhauddin Mohd Salleh)

-----------------------------------------------------------------

Tuan Samsuddin Kadir memulakan slot beliau 'fulus oh fulus' dengan bacaan doa dalam Bahasa Melayu..

"Ya Allah, kurniakan aku dengan kefahaman para Nabi,
Hafalan para Rasul, dan ilham para malaikat yang hampir denganMu. Ya Allah yang Maha Pembuka lagi Maha Tahu,
Bukakanlah pintu hati kami seperti orang yang arif lagi bijaksana

Tok Guru saya kata "kita perlu BERDOA.. bukan 'membaca' doa". Kata Beliau.
(Berdoa, biarlah difahami)

Kata beliau juga,  "Berdoa supaya biar kita cakap sedikit, tapi orang dapat faham banyak"

------------------------------------------------------------------

Jangan tetapkan wang hantaran jika tidak mahu mengambil risiko perselisihan pendapat dengan keluarga mertua, apatah lagi wang hantaran yang tinggi. 

Apabila kita meletakkan wang hantaran, kita telah mencipta persepsi negatif. Masuklah ke dalam keluarga baru dengan suasana yang harmoni dan disayangi.

Majlis kahwin yang melampau ibarat menjadi raja 4 jam, dan menjadi hamba seumur hidup. 

Pembelanjaan kahwin yang paling banyak ialah pembiayaan membiayai pembelanjaan "seronok". 

Kajian menunjukkan, orang yang merasakan dirinya mahal, dia tidak memerlukan apa-apa yang mahal untuk dilekatkan di sekelilingnya

Ada 3 pelaburan yang paling menguntungkan:
1) Ilmu
2) Hartanah
3) Emas

Matlamat hidup ini bukanlah untuk kaya atau menghimpun harta melimpah ruah di dunia, tetapi menjadi kaya untuk menambah pahala dengan membantu orang yang memerlukan.

(Tuan Samsuddin Kadir)

------------------------------------------------------------------

Anak-anak belajar dari ibubapa melalui;
1. Pendengaran.
2. Penglihatan.

Rumahtangga bukan hanya membabitkan hukum-hakam,
malah perlu diiringkan dengan seni.

Senaraikan kriteria yang diimpikan pada anak-anak

Contohnya...
"Saya mahukan anak yang cerdik"
Kemudian ubah ayat tersebut "Saya anak yang cerdik"

Siapa anak kita ia datang dari binary code yang lahir dari kita.

Pantaulah anak sendiri, jika perlu hantar kepada orang lain hantar kepada orang yang menjaga solat
1. Nature - tolong siapkan diri kita sendiri; sikap; sifat anak lahir dari genetik kita.
2. Kurangkan menjadi diktator dalam rumahtangga; jadilah demonstrator.

Serapkan nilai demonstrator "Jom solat bersama Abah"
Jangan jadi diktator "Kau pergi solat!!

3. Nilai tarbiah dalam suasana & contoh agama - ia membentukkan akalnya meninggikan jiwanya meninggikan keperibadiannya.

------------------------------------------------------------------

Poligami pada hakikatnya adalah sesuatu yang indah dengan matlamat yang suci. 

Ia jauh lebih baik daripada terjebak melakukan perkara yang dimurkai Allah. Tetapi ia boleh menjadi mimpi ngeri apabila tidak dapat diuruskan dengan baik.

Ia adalah pilihan dengan pilihan.

------------------------------------------------------------------

Lelaki/wanita yang memandang dengan nafsu - akan cari pasangan yang cantik rupa paras.
Lelaki/wanita yang memandang pada akal - akan cari pasangan yang cantik pada ilmu.
Lelaki/wanita memandang pada hati - akan cari pasangan yang berakhlak mulia.

Ianya pilihan. Kita yang memilih...

------------------------------------------------------------------

Berbuat baik kepada pihak yang buat baik pada diri, haiwan juga buat...

Tapi buat baik kepada orang yang buat buruk pada kita, itulah Agama..

Dan begitu juga silaturrahim, bukan dengan orang yang memang sedia ada hubungan silaturrahim kita, tetapi silaturrahim itu adalah dengan 'sambungkan' hubungan kepada orang yang mahu putuskan hubungan dengan kita...

(Ustaz Ebit Lew)

--------------------------------------------------------------------

Abdullah Ibnu haris berkata, Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak senyum kecuali Rasulallah SAW

Baginda senyum ketika sedih dan juga ketika gembira.
Ketika susah dan ketika senang.

Nabi SAW berkata kepada Anas bin Malik yang mempunyai ramai anak, Berakhlaklah kamu dan mulakanlah dengan senyuman.

Lihatlah wajah ibu bapa, anak, isteri dan suami. Dan SENYUMLAH...
Itulah pengikat kasih sayang keluarga.

(Cinta di Rumah Rasulallah-Ustaz Ebit Lew)

------------------------------------------------------------------

Lima bahasa cinta

1) Bahasa dan kata-kata manis. Pujuklah ketika merajuk. Panggillah dengan panggilan yang baik. Luahkan rasa kasih, apabila anda menyayangi seseorang.

2) Hadiah. Tahaddu Tahabbu. Orang yang memberi hadiah akan disayangi.
3) Sentuhan
4) Masa yang berkualiti.
5) Khidmat. Iaitu saling membantu.

(Ustazah Isfadiah; Ustaz Muhidin)

-------------------------------------------------------------------

Hidupkan amalan Nabi dalam Rumah

1) Berkasih Sayang (Senyum, Salam dan Sentuhan)
2) Solat. Bangun subuh berjemaah dan kejutlah keluarga untuk solat tahajud. Jagalah solat di awal waktu.

Sahabat menceritakan, “Apabila azan dilaungkan, Rasulallah seolah2 tidak mengenali kami lagi.” Sepanjang solat, nabi akan menangis. Saat solat, jantung baginda kedengaran seperti air yang mendidih.

Doa selepas melakukan perkara baik akan dimakbulkan walaupun mengangkat halangan di tengah jalan. Jadi, berdoalah untuk jodoh yang baik.

3) Doa mendoakan- Sentiasa doakan ahli keluarga kita.
4) Kata “salah saya”-  Tidak malu mengaku kesalahan

Peluklah isteri 10 saat sebelum bekerja setiap hari. Ia akan menyihatkan dan menambah kasih sayang.

5) Jangan pernah berkata 'kenapa macam ni, kenapa tidak macam ni?"

Apa yang berlaku, yang kita suka atau yang kita tidak suka adalah rahmat daripada Allah.

6) Hidupkan taklim/Motivasi
7) Baca Al-Quran/Manzil
8) Khidmat diri sendiri
9) Keluar rumah dengan kaki kiri. Bacalah bismillahi ‘tawakkkal tu ‘ala Allah. La haula wala quwwata illa billah”

Nabi dulu berpenat lelah dan menangis untuk membawa Islam kepada kita.
Adakah kita sanggup melambatkan solat hanya kerana sebuah drama atau sebuah handset?

-------------------------------------------------------------------

Matlamat perkahwinan ialah untuk "investment" dunia akhirat.

Apakah "investment" tu???
"Investment" itu ialah ANAK-ANAK yang SOLEH.

-----------------------------------------------------------------

RUMAHTANGGA berbeza dengan RUMAH. 
Rumah dibina dengan batu bata. 
Rumahtangga pula dibina dengan kasih sayang, cinta, rindu dan rasa tanggungjawab. 
Dan.... ruhnya adalah sakinah, mawaddah dan rahmah.

Ketenangan, kebahagiaan dan kasih sayang.

Rumah kita Home atau House?
A house is just a place where people live. Home is truly where the heart is.

(Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Rumahtangga Tapak Perjuangan)

-----------------------------------------------------------------

Tidak mendapat cinta manusia di dunia, tidaklah bermakna kita tidak dapat ke syurga. Jangan risau, kerana cinta kita menunggu di akhirat sana. Ini janji Allah yang manusia diciptakan berpasangan.

Tetapi risaulah jika kita tidak mendapat Cinta Allah. Jika di dunia pun sudah gagal mendapat cinta Allah, apatah lagi di akhirat. Bagaimana rasanya jika Allah tidak sudi memandang kita di akhirat sana?

------------------------------------------------------------------

Orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima. 

Suami Isteri sepatutnya berlumba-lumba melakukan tanggungjawab, bukan berlumba-lumba menunggu-nunggu haknya.

Jangan persoalkan hak yang belum ditunaikan, tetapi lihatlah pada tanggungjawab yang belum kita ditunaikan. Mudahkanlah urusan kita menjawab di hadapan Allah nanti.

-------------------------------------------------------------------

Orang kata, Pernikahan penyatuan dua hati. Sedangkan penyatuan dua hati adalah IMAN.

(Ustaz Pahrol Juoi)

-------------------------------------------------------------------

Sudah berkahwin,

Ada suami/isteri itu NIKMAT, tapi ada suami/isteri yang Soleh/Solehah itu RAHMAT. Suami sebagai khalifah, Isteri sebagai Raudhatul Bait (pengurus rumah tangga).

Ada anak itu NIKMAT, tapi ada anak yang Soleh/Solehah itu RAHMAT.

Ada rumah, tak kisahlah luas atau sempit itu NIKMAT, tapi rumah yang dipenuhi dengan ilmu Baiti Jannati itu RAHMAT

------------------------------------------------------------------

Sedar tidak sedar Keluarga Usrah itu adalah PROSES membentuk keluarga, Keluarga Baiti Jannati..

Rukun Usrah
1) Taaruf- mengenali. 5 tahun pertama perkahwinan, paling banyak berlaku penceraian.
2) Tafahum- memahami. Fahami kelemahan dan kelebihannya.
3) Takaful- melengkapi. Tahu kelemahan pasangan, maka kita jadilah pelengkapnya

Allah tidak melihat keputusan, tetapi Allah melihat usaha. Menjadi pasangan yang baik, ialah on going proses.

Jangan memandang rendah kepada pasangan. 

Tetapi sebutlah “I am here to complete you“.Teruslah berusaha untuk terus belajar dan memahami kerana matlamat kita ialah mendapat Redha Allah

------------------------------------------------------------------

Family Planning

Pregnant- by choice, intended & wanted, Saya  tidak  setuju dengan “Bunting Pelamin" Kahwin, months masih awal, sekurang-kurangnya 6 bulan untuk saling kenal.

(Dr Harlina Siraj)


------------------------------------------------------------------
Rujukan dari peserta SBM 3.0 lain




Monday, March 17, 2014

“Mak Ndak, Nak Sayang”

Semalam, lepas kerja singgah rumah Abang sebelum ke kelas malam di Wangsa Maju.

Sampai-sampai, anak saudara yang bernama Haziq tolong bukakan pintu pagar. 

Sambil sengih menunjukkan gigi kapaknya. Hilang penat tengok senyuman dia. :)

Masuk je rumah, dia hulurkan tangan untuk bersalam.

Saya, senyum balik dan kata “Rindulah Mak Ndak dengan Haziq, meh sini nak peluk”

Haziq senyum sampai telinga apabila kena peluk.

Tak sangka pula dia suka kena peluk.

Sambil tengok berita, Haziq banyak cakap dengan saya.

Pelik.

Selalunya, dia memang asyik dengan tab-nya main game.

Haziq banyak bertanya dan bercakap tentang kapal terbang MH307.

Saya melayan “Ha’ah la kan,  yeke Haziq?, ohh….”. Meraikan kanak-kanak umur 7  tahun bercakap tak nak berhenti..

Yang paling rasa mahu tergelak, bila Haziq cakap..

“Mak Ndak jangan naik kapal terbang tau, ada penumpang hantu”

Saya tanya balik, “Mana Haziq tahu ada penumpang hantu”
“Tu.. berita cakap…”. Jawab Haziq.

Cepat benar  budak-budak sekarang cerap maklumat.

Kemudian saya pun terangkan, “Hantu mana ada Haziq, Allah je yang ada. Penumpang hantu yang berita cakap tu, penumpang yang guna passport palsu tu,  yang Haziq cerita panjang-panjang tadi pasal orang Iran tu….”

“Oooohh”. Panjang muncung Haziq respon balik.

---------------------------------------------------------------

Kemudian, makan malam dengan Abang dan Kakak Ipar.

Sebelum makan saya cakap pada Haziq

“Haziq.. baca doa ye..” Dia pun angguk-angguk sambil baca doa makan.

Selesai baca doa saya puji..
“Bagus Haziq baca doa! Macam imam masjid baca doa lah”
Haziq senyum sampai telinga.

Selesai makan, kemudian Ayah Haziq (Abang saya) mengajak Haziq keluar beli barang.

Haziq siap-siap tukar baju dan kemudian dia hulur tangan kepada saya mahu bersalam.

Saya macam terkejut sekejap. Selalunya, kalau nak keluar berjalan, saya yang ingatkan dia..
“Eh, Haziq tak nak salam Mak Ndak ke.. Kejap lagi Mak Ndak nak balik…”

Tapi, kali ni, dia sendiri tercongok depan saya.

Selepas bersalaman. Dia masih berdiri depan saya.

Kemudian dia cakap, “Mak Ndak.. nak sayang…”

Hah !
Rupanya nak peluk…  

Manis betul Ahli Syurga yang seorang ini…

Lepas peluk, dia boleh senyum dan jawab…
“Lain kali Mak Ndak datang sini lagi tau..”


Berkumpul tapi Tidak Bersama.

Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupa, apabila suatu hari saya dan keluarga makan di luar. 

Sambil tunggu pesanan sampai, di sebelah meja saya terdapat  sebuah keluarga yang juga sedang menunggu pesanan.

Namun yang saya perhatikan kesemuanya ‘amat sibuk ‘ dengan gajet. 

Hanya tinggal bayi kecil dalam dukungan si emak. Itu pun Si Emak memegang Ipadnya di sebelah tangan lagi.

Sungguh menyedihkan suasana itu.

Sebab apa?

Mereka berkumpul. Tetapi hati tidak bersama.

Sejak dari itu, saya cuba berusaha kurang-kurangkan memegang telefon bimbit ketika makan dan ketika berbual dengan ahli keluarga. 

Terutama dengan anak saudara. Sebabnya, kanak-kanak akan banyak  belajar melalui perlakuan (contoh teladan), bukan semata-mata perkataan dan arahan.

Kanak-kanak ini akan melayan orang dewasa mereka di masa hadapan, sebagaimana orang dewasa melayan mereka di waktu kecil, iaitu sekarang. Lumrahnya begitu.

Apa yang saya belajar, tentang malam tu adalah bagi kanak-kanak 7 tahun, mungkin erti ‘sayang’ pada mereka adalah pelukan, puji dan berborak-borak dengan mereka seperti yang pernah saya pelajari di siri-siri bengkel Teknik Mendorong Teknik Nabi (solallahua'alaihi wassalam)

Mudah untuk mendorong jika seseorang itu rasa dihargai (melalui pujian).

Jadi, kanak-kanak mudah menurut kata jika mereka rasa dihargai dan disayangi.


Teknologi dan Komunikasi

Dr Syukri Abdullah juga pernah menyebut... 
“Gajet akan ambil alih tugas menjadi sahabat baik kepada anak-anak jika Ibu bapa sangat malas untuk berkomunikasi dengan anak-anak”.

Gajet juga dianggap biasa bagi Ibubapa yang mampu. Namun ia beri kesan negatif pada perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak seperti yang saya baca di child-psychiatrist.

Teknologi masih lagi perlu, namun dengan kawalan dan pemantauan. Itu bagi kanak-kanak berumur kurang 7 tahun. Bagi orang dewasa sendiri perlu ada kawalan dalam penggunaan teknologi dan gajet. Kerana ia boleh mencederakan emosi orang sekeliling kita ketika tiada eye contact. 

Seorang sahabat saya juga pernah berjenaka dengan sinis. Katanya…
“Orang sekarang kebanyakan berjalan menundukkan pandangan…
..tundukkan pandangan bukan seperti diperintah dalam al quran, tapi melihat telefon bimbit yang ada di tangan..

Oleh itu, gunalah apa sahaja kemajuan sedia ada. Namun sebagai manusia yang diberi akal fikiran dan pertimbangan yang waras, kita perlu bijak memilih yang mana keperluan dan yang mana kehendak.



Thursday, March 13, 2014

LOST N FOUND DI JEPUN


Rakyat Jepun sangat berbangga dengan sifat amanah.

Mereka sering menyebut 'Nothing get lost in Japan'.

Inilah moto meraka dan selalu dilaungkan. 'Tiada yang hilang di Jepun'.

Mereka sangat yakin dengan sistem dan bangsa mereka. Yang mana, barang yang hilang akan dijumpai, takkan hilang.

Kerana itu kotak 'Lost and Found' disediakan di kawasan atau stesen kereta api. Barang yang ditemui akan diletak dalam kotak itu.

Di peringkat sekolah rendah lagi, anak-anak kecil di Jepun terdidik dengan sifat amanah. Yang mana, setiap barang yang dijumpai akan dikumpul di suatu tempat bagi memudahkan ia dijumpai semula oleh pemilik.



Namun, di Malaysia sendiri, jika ada kehilangan barang, dimana anda akan mencarinya??

Polis sendiri tidak dapat menolong... 

Sedangkan Islam mempunyai sistem yang dinamakan 'Luqatha'. Dalam ilmu fekah Imam Malik menyebut, barang yang dijumpai perlu dijaga selama setahun. Tidak boleh digunakan, dan ia perlu diisytiharkan! Selepas setahun barang itu miliknya atau hukumnya berubah.
Hukum Fekah ini telah diabaikan di banyak negara Islam... 

Islam telah menyediakan jalan dan sistem terbaik untuk kepentingan bersama..
Tapi Masyarakat Jepun lebih Islam dari Orang Islam sendiri.




Entri kali ini masih lagi tentang Rancangan al Khawater

Episod kali ini dimulakan dengan ayat.. 

"Kami bukan ke Jepun untuk memuja mereka, tetapi untuk mengambil iktibar"

Topik kali ini Allah ingatkan saya kepada hadis ini Dari Abu Hurairah ra, Nabi Solallahu a'laihi wassalam, bersabda:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”.
(HR. Muslim)
  

Menghormati, Adalah Prinsip Asas Rakyat Jepun

Tahukah sahabat-sahabat bahawa antara budaya asas Masyarakat Jepun adalah memudahkan urusan orang lain..?

1) Medan Selera Mereka dibudayakan supaya membersihkan sendiri meja di restoren selepas makan/minum. Membersihkan dengan kata lain, membawa dulang & bekas makanan dan mengasingkan sisa-sisa di tempat khas. Dan membuang bekas pembalut di tong yang dikhaskan.

Masyarakat Jepun juga diajar supaya mengosongkan sampah sarap dari lebihan sisa makanan mereka sebelum dibuang ke tong sampah. Ini memudahkan sampah itu lebih mudah diurus dan tidak berbau. 

(Sisa makanan yang rosak boleh mendatangkan bau). Sampah juga dibuang ke dalam tong mengikut jenis. Di Restoren-restoren, adalah pemandangan biasa apabila selesai sahaja makan dari anak kecil sehinggalah bapa & mak kepada anak bersama-sama mengemaskan meja di restoren selepas selesai makan.

Tidak kira siapa pun mereka. Semuanya dilayan sama rata.

Hal ini secara tidak lansung memudahkan pelanggan yang seterusnya menggunakan meja itu. Kita sendiri suka dengan keadaan meja yang bersih sekiranya sampai di restoren. Sebagaimana kita mahu dilayan, maka sebegitulah juga kita patut melayan orang lain.


Anjing Juga Berharga ! 

Rakyat Jepun yang membawa anjing keluar di Tempat Awam, mempunyai plastik khas yang digunakan mengutip najis anjing itu. Tuan kepada anjing itu sendiri yang menguruskan najis itu. Tidak di'swastakan kepada DBKL atau pekerja kebersihan.

Apabila seorang wanita ditanya oleh Pengacara..

"Mengapa buat begitu?", (yang merujuk mengurus sendiri najis anjing), Pemilik anjing itu hanya ketawa.

Dia hairan kenapa ditanya begitu. Bagi mereka tidak patut ada soalan begitu kerana...

"Itulah cara yang beradab" Kata wanita itu.

Tambah wanita itu lagi "Bayangkan jika ada orang yang terpijak najis itu sebelum ia dibersihkan.."

Mereka sangat bertanggungjawab. Dan hampir setiap orang Jepun memiliki sikap ini.

Perkara yang benar, hanya tersebar jika menjadi kebiasaan... 
Adakah maknanya orang Jepun ini ibarat Malaikat dan sempurna? 
Adakah bermakna tiada seorang pun orang Jepun pengotor? Ada...

Tapi hanya segelintir kecil yang bersikap begitu. Dan kebanyakan orang Jepun berada di landasan yang betul (kebetulan seiring dengan hadis Rasulullah pula tu)


Jurutera Kesihatan (Sanitary Engineer).

Menghormati setiap orang, tidak kira apa pun jua status Di Jepun, orang yang membersihkan kawasan sampah sarap tidak dipanggil pekerja am, pekerja pembersihan atau DBKL. Tetapi mereka diberi jawatan Jurutera Kesihatan(Sanitary Engineer).

Adalah aib memanggil dengan 'pekerja kebersihan' di Jepun.

Panggilan ini dianggap penghinaan pada pekerjaan dan tanggunjawabnya !

Jurutera Kesihatan ini bukan sekadar tukang buang sampah tetapi sebagai orang yang bertanggunjawab ke atas kesihatan penduduk.

Lihatlah penghormatan Jepun terhadap sudut meraikan setiap dari status masyarakat. Bukan calang-calang orang mereka yang boleh menjadi Jurutera Kesihatan ini.

Mereka ini perlu lulus ujian lisan dan bertulis dan perlu memperoleh sijil khas untuk membersihkan bandar-bandar mereka. Gaji sebulan Jurutera Kebersihan paling minimum adalah $8000. (Dalam US Dolar). Hampir $100,000 setahun..

Kenapa?

Kerana mssyarakat Jepun begitu menjaga sensitiviti dan kepentingan pekerjaan ini..

Sebagaimana keprihatinan Rasulullah solallahu a'laihi wassalam terhadap orang yang menjaga kebersihan. Ada seorang wanita yang menjaga kebersihan masjid.

Wanita itu kemudiannya tidak muncul selama sehari atau dua hari. Rasulullah berasa hairan dan bertanya tentangnya...

Para sahabat memberitahu bahawa wanita itu telah meninggal dunia. Baginda berkata,

"Mengapa tidak memberitahu aku??" 

Baginda telah pergi ke kubur wanita ini dan mendoakan wanita ini. Baginda mendoakan wanita ini sebagai penghargaan atas usahanya.

Baginda mengingatkan kita bahawa jangan memadang hina pekerjaan-pekerjaan ini.. 

Kita kadangkala tidak perlu menunggu penguatkuasaan Kerajaan, sekolah, NGO untuk mengubah dunia.

Banyak masanya, dengan mengubah rutin diri sendiri lebih mudah diusahakan kerana ia bermula dari dalam ke luar. InsyAllah..


Kita boleh mulakan apa sahaja usaha yang baik. Usaha yang baik dikira sedekah dan sedekah, ganjarannya adalah PAHALA.


AISKRIM, TELEFON BIMBIT DAN TIDAK MEMBAZIR DI JEPUN

Alhamdulillah, sempat tengok Rancangan Al Khawater di saluran TV Al Hijrah balik dari kerja semalam. Kali ini dengan isu "Fikirkan Tentang Orang Lain". 

Begitu tersentuh melihat akhlak masyarakat Jepun dalam kehidupan seharian. Rasa makin tersentuh dan terpukul, apabila, akhlak yang indah dalam masyarakat Jepun itu, telah disebut dan dibuat oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Solallahu a'laihi wassalam.

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “Nabi Muhammad Solallahu a'laihi wassalam  pernah bersabda:

“Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)

Hadis bukan untuk dihafal tetapi adalah untuk diamalkan..

Prinsip  'menyayangi' ini rupanya ada dalam kehidupan orang Jepun..

Antaranya, jika anda di kedai ais krim, anda akan ditanya
"Bila anda akan makan ais krim ini, 15 minit, 30 minit atau 1 jam lagi??"

Mengapa?

Rupa-rupanya ais kering akan diletak bersama-sama dengan ais krim itu mengikut waktu makan anda. Supaya ais krim itu tidak cair.

Ais kering tidak diletak sebarangan. Ini kerana setiap tempoh masa, ada ukuran ais kering yang khusus. Jika anda sebut anda akan makan 15 minit lagi, peniaga akan letak 50 gram ais. Jika 30 minit, 100 gram ais kering...

Hanya melihat perkara kecil seperti aiskrim, wujud prinsip mengutamakan orang lain..


TELEFON BIMBIT

Telefon bimbit di Jepun ada aibnya. Iaitu, aib jika telefon bimbit berbunyi di tempat tertutup. Kita tidak dengar bunyi telefon jika berada di dalam kereta api.

Juga dilarang telefon di kedai makan. Kerana ia kan menganggu orang lain. Dilarang membuka nada dering telefon di tempat tertutup.

Percaya atau tidak di dalam telefon bimbit di Jepun ada beberapa pilihan jenis mode bunyi.
Yang berbeza di Jepun ada tetapan bunyi 'Manner Mode'. Maksudnya 'Situasi akhlak !
Maksudnya senyap.

Mereka tidak setkan mod senyap, tetapi mod akhlak.

Jadi, jika anda berakhlak, anda patut tutup bunyi telefon agar tidak menganggu orang lain.
Inilah sebahagian akhlak di Jepun.

Berlaku baik terhadap orang lain seperti yang anda inginkan untuk diri sendiri.


TIDAK MEMBAZIR

Di kedai Bufet Jepun, dilihat rakyat Jepun 99% mengambil dan makan mengikut kemampuan. Mereka menghabiskan makanan kerana menghargai nikmat. Kerana itu tiada pembaziran.

Tiada sisa makanan di pinggan. Betapa mereka 'sedang mengambil berkat makanan mereka'..

Masakan tidak, setiap makanan yang diberi Allah itu hatta sebutir nasi ada keberkatannya, cuma kita tidak tahu bahagian yang mana yang berkatnya tu... Kerana itulah jangan membazir.

(Kita makin menghadiri Ramadan. Di siang hari kita mampu menahan diri dari makan dan minum. Namun menjelang petang, bazar dan makanan hampir merosakkan pahala puasa kita. Saya juga mengingatkan diri sendiri, agar sedaya upaya bersederhana ketika berbuka puasa Ramadhan kali ini...)

Teringat saya kepada kata-kata Ustaz Nasa yang dikenali memperkenalkan kaedah Al furqan. Menurut beliau hanya dengan al quran dapat mengubah sesuatu bangsa. Juga dapat mengubah manusia.

Lihat bagaimana bangsa arab Jahiliah..

Para sahabat yang pada zaman Jahiliah bergelumang dosa, diangkat menjadi mulia dan Penghuni Syurga kerana di hati mereka ada al quran.

Al quran juga tidak mengenal bangsa. Mana-mana manusia yang beriman dan mengamalkan al quran, maka akan hebatlah akhlaknya..  

Contohnya Sultan Muhammad Al Fateh. Dia bukan dari 300 kurun terbaik Nabi, dia bukan sahabat Nabi, dia juga bukan keturunan Nabi dan  dia bukan berbangsa Arab. Tetapi, dengan  berpegang teguh dengan Al quran dan hadith mengangkat Al Fateh manusia unggul  dan disebut-sebut sehingga ke hari ini.

Kerana itulah adanya Rasulullah solallahu a'laihi wassalam untuk kita semua tiru akhlak Baginda sehingga ke saat ini..

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Alquran." (HR Muslim).


Tak dapat buat semua, jangan ditinggal semua...

Semoga kita belajar sedikit akhlak dari rakyat Jepun, mudah-mudahan ia lebih membuka mata betapa indahnya Islam..

Islam sudah sedia Indah, maka kita yang sebenarnya yang memerlukan Islam...