Tuesday, May 7, 2013

PERHIMPUNAN KELUARGA

Perkongsian ini saya ambil dari status Facebook seorang rakan. 


Zaman Nabi dahulu ia dipanggil TAKRIR (ikrar dan azamkan apa nak buat seharian) & TAKLIM (maklum & lapor apa yang telah dibuat)

Cuma di sini saya gunakan istilah inggeris...ROLL CALL. 



Orked (4 tahun), Seri (2 tahun) & Lela (9 bulan) bukanlah muda lagi untuk pembelajaran bermula. 

Pendidikan bermula dari buaian dan bukan tunggu dah darjah 1. 

Seri dah mula bercerita pada umur antara 1-2 tahun apabila dia diletakkan bersama kakaknya sekali dalam roll-call. 

Lela masih belum pandai bercakap tetapi diwajibkan hadir roll-call saya. Untuk apa? Method ini yang diamalkan oleh keseluruhan organisasi Rumah Pengasih Warga Prihatin lalu saya lanjutkannya di unit keluarga saya sendiri.

Anak seperti Lela yang belum pandai bercakap sebenarnya sudah lengkap deria input mereka seperti pendengarannya juga penglihatannya. 

Jangan ingat mereka tidak mampu berkata (output) bermakna mereka tidak mampu menerima input ilmu? Rugi sangat jika anda fikir begitu kerana dari buaian sehingga mereka pandai berbicara itu adalah INPUT SEHALA yang Allah dah jadikan dalam keadaan anak TIDAK BOLEH MENJAWAB.

Ketika itu, anda perlu masukkan tentang MATLAMAT HIDUP yang anda ulang-ulanginya walaupun mereka tidak boleh respon. Tiada ruang menjawab memberi kita RUANG UNTUK BENTUK JIWA & MINDA MEREKA DARI AWAL. Semasa mereka mula pandai berbicara, ketika itu pendirian dan aspirasi kita sudah terlalu kuat dalam hati mereka untuk mereka pertikaikan dengan mulut.

Masa saya terhad dengan keluarga, biasanya roll call berlaku semasa sarapan & makan malam. Kadangkala seperti gambar ini apabila keadaan memerlukan.

Anda pasti terkejut apabila anak anda mula pandai berkata-kata sahaja, mereka dah berbicara dalam bahasa kamu dan cara fikir yang kamu (ibu bapa) mahukan mereka berfikir. 

Anda pasti terkejut apabila mereka mula membicarakan istilah-istilah tinggi yang anda tidak perasan bila anda ajarkannya tetapi anda gunakannya dalam perbualan bersama isteri dan didengari oleh mereka


KANDUNGAN ROLL CALL

- Laporan harian Aktiviti anak
- Laporan harian salahbuat anak (sendiri mengaku)
- Pesanan & aspirasi Ayah
- Pesanan hormati ibu (ulang-ulang)
- Pesanan taati bapa, Rasul & Allah.

Itu sahaja, biasanya row call ini saya jalankan secara santai dan anak akan bercerita. Biasanya ia berlangsung dalam 5 minit. Saya hanya bertanyakan dalam roll call kepada Orked tetapi kemudiannya itu menyebabkan Seri yang berumur 2 tahun juga mampu meniru dengan cepat sekali. 

Sekarang Lela yang masih 9 bulan dan belum pandai bercakap juga sudah mula mengomel bila kakak-kakaknya membuat laporan. InsyaAllah tidak lama lagi, Lela mampu berkata-kata dan berpendirian seperti mana saya ulang-ulangi kepada kakak-kakak mereka.


WAKTU PENTING PENDIDIKAN ANAK ADALAH DARI BUAIAN


Post ini saya kongsikan kerana banyak pertanyaanbiasa yang orang bertanyakan kepada saya tentang kaedah pendidikan anak-anak saya khususnya dan Rumah Prihatin umumnya (yang masih kecil lagi). 

Memang lah, masa kecil bolehlah nak jaga begitu, nanti bila besar tak tentu lagi. Pada saya pula, jika tidak dimula dari sekarang nanti besar dah jadi liat dan bila dah jadi rebung pasti susah nak dilentur dan bentuk. Jika boleh pun dengan API & PAKSAAN (tapi siksalah).

Mengapa mereka bertanya begitu? Pasti bagi mereka yang pernah jumpa Orked, Seri dan anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin akan bertanya soalan yang sama kerana bual bicara mereka tak sama dengan kanak-kanak lain. Perbualan mereka lebih kepada perkara yang sudah diterapkan dalam row-call itu. Maka setiap hari ada pendirian-pendirian yang ditanam dan diulangi. Isteri saya pula merapikan dan melaksanakan pendidikan secara akademik kepada anak-anak itu untuk mengejar visi yang saya (bapa) tanamkan.

Mungkin ada yang pelik bila kanak-kanak ini bertanya kepada kakak-kakak sukarelawan dari universiti tempatan yang membuat program menceriakan anak-anak Warga Prihatin ini mendengar soalan dari anak sebesar Orked (4 tahun) yang berbunyi lebih kurang sebegini ;

Orked      : Kak, apa RASIONAL gerakan ini? (bila disuruh menari)


Siswi       : (Terkejut) Ohh..ini untuk kita suka-suka main bersama.


Orked    : Ayah saya pesan, semua perbuatan dan permainan perlu ada FUNDAMENTAL yang kuat supaya mampu memberi PELAJARAN kepada anak-anak kecil seperti kami. Jika kurang kebaikannya, saya minta izin untuk tidak ikut aktiviti ini boleh tak kak?


Siswi     : (Menoleh ke arah saya dengan senyum) Bijaknya budak ni.


(Kemudian baru siswa siswi itu mula menerangkan rasional aktiviti yang mereka mahu lakukan sebagai pelajaran kepada anak-anak kecil itu. Rasional yang melebihi sekadar suka-suka sahaja).

Satu lagi, jika yang sebesar Lela tu perlu juga ke masuk roll call ?

Jawapan saya, semestinya kerana disiplin roll call hanya saya terap pada Orked tetapi Seri tahu dengan CONTOH kakaknya, Lela juga nanti akan dapat melalui contoh kakak-kakaknya. Kerja saya kan jadi mudah?

Selain dari itu, row call membentuk disiplin anak yang DATANG BILA DIPANGGIL. Sedih melihat zaman ini apabila anak dipanggil sampai dikejar dan ditangkap juga masih tak mahu datang. Semasa kecil ok lah, bila dah besar nanti bila dipanggil terus lari rumah pula.

Banyak masalah BESAR anak-anak kita sekarang ini terjadi apabila kita mengabaikan banyak perkara-perkara kecil pada awal pembesaran mereka. Antaranya ialah SILATURRAHIM (yang saya buat dalam bentuk row call dan bukannya PS3, Game console, tablet, smartphone dll). Mendidik anak zaman ini memang mencabar. Maka Ibu bapa harus lebih bijak menyahut cabaran.

Bersedekahlah Untuk Dirimu Sendiri


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Kali ni saya nak kongsikan hadith yang dibincangkan oleh sahabat usrah saya, Miza. 

Betul menarik !

Tentang Hadith-40 Imam Nawawi. Miza menyentuh Hadith ke-25 yang berbunyi-


Dari Abu Dzar radhiallahuanhu: Sesungguhnya sejumlah orang dari shahabat Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam berkata kepada Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam: 
“Wahai Rasululullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedang kami tidak dapat melakukannya). 

(Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam) bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan untuk bersedekah? 

Sesungguhnya setiap tashbih  merupakan sedekah,
setiap takbir merupakan sedekah, 
setiap tahmid merupakan sedekah, 
setiap tahlil merupakan sedekah,
amar ma’ruf nahi munkar merupakan sedekah 
dan setiap kemaluan kalian merupakan sedekah.

Mereka bertanya: Ya Rasulullah masakan dikatakan berpahala seseorang di antara kami yang menyalurkan syahwatnya? 
Beliau bersabda: Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah baginya dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka baginya mendapatkan pahala. [Hadis Riwayat Muslim]


Subhanallah...........
Indahnya Islam ini, buat apa sahaja dari sekecil-kecil mengucapkan Alhamdulillah itupun dikira sedekah dan berpahala !
Terang dan jelas Allah sebut juga dalam Al-Quran:-

Maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Surah Az-Zalzalah ayat 7-8)


Agaknya, kenapa ya penting sedekah ni? Sebelum-sebelum ini saya selalu anggap sedekah ni tak lain hanyalah sekadar 'memberi' seperti yang pernah saya nyatakan di  entri ini.

Rupanya, kita bersedekah ini juga untuk diri kita sendiri. Ha, bagaimana pula tu?
Sebagaimana dikisahkan dalam sebuah hadis. Rasulullah sallalahu a'laihi wassalam pada suatu ketika menyembelih seekor kambing. Oleh isterinya Siti Aisyah, daging kambing tersebut dibagi-bagikan kepada para sahabat dan tetangganya. 

Ketika Rasulullah bertanya tentang daging kambing tersebut, dijawab oleh Aisyah, "Ini ya Rasulullah, tinggal sempilnya (kaki kambing) yang tersisa, semua sudah habis dibagi-bagikan." Mendengar itu. Rasulullah bersabda, "Oh, bukan begitu, wahai Aisyah. Sesungguhnya semuanya ada dan tetap untuk kita, kecuali kakinya ini yang belum tentu akan menjadi rezeki kita"
 
Ha... Sebabnya, yang telah disedekahkan pada orang lain itu, telahpun dicatat oleh malaikat sebagai PAHALA dalam BUKU AMALAN KITA !  Sedangkan harta yang sedia ada pada tangan kita sekarang belum tentu jadi pulangan pahala kepada kita. Selagi ia disimpan, selagi itu 'tiada nilai pahala' pada harta itu.

Malah, jam yang kita pakai sekarang pun, kalau ditakdirkan Tuhan kita mati esok, maka sudah pastinya jam itu akan dibahagikan mengikut faraid di kalangan waris yang masih hidup.  Jadi, yang mana satu yang kita berani isytiharkan 'hak' kita ???

Harta dan wang kita yang sedia ada, ketika  kita hidup ni, ia tidak lebih dari sekadar harta pandangan fizikal seperti  wang yang disimpan di bank,  kereta yang kita sedang guna, rumah yang sedang kita duduki dan sebagainya bukanlah milik kita pada pandangan ALLAH... ia adalah 'amanah' yang dipertangungjawabkan !

Kecualilah, harta benda kita itu,  kita siap sedia nafkahkan, wakafkan dan sedekahkan... barulah ia benar-benar 'milik' kita. Milik kita yang kita akan bawa jumpa kepada Allah nanti di Hari Pembalasan


https://fbcdn-sphotos-d-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/734475_4778227295789_2095023237_n.jpg

Bulatan Gembira

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah

Tiada yang selayak yang dipuji melain Allah jua. Sungguh indah perancangan Allah dalam usaha saya mencari keluarga usrah untuk terus memperbaiki diri yang selalu lupa ini.

Dihantar-Nya, insan-insan biasa yang berhati Luar Biasa !

Luar Biasa kerana kami bertemu di medan Usrah kerana Allah, berpisah juga kerana Allah...

Setiap kali Usrah, sentiasa ada misi yang perlu dilaksanakan. Alhamdulillah Naqibah saya Kak Leena sentiasa 'memantau' kami. Hantar SMS reminder tentang solat dhuha, surah Al-Kahfi di hari Jumaat dan tanya khabar iman dan banyak lagi. Semoga Allah melimpahi rahmat dan kasih sayang kepada kak Leena yang tulus hatinya ini...

Perjalanan saya bermula apabila menyertai satu program knowledge-sharing My Hijab My Love.

Program ni sebenarnya dibentuk dari usrah-usrah kecil  di bawah IKRAM. Dan dari IKRAM juga saya mula mengenali dan sangat mengkagumi Dr Harlina Siraj.

Berbalik semula kepada keluarga usrah saya kini, alhamdulillah sehingga entri ini ditulis sudah 7 kali pertemuan di antara kami..

Pertemuan kali pertama lebih kepada sesi perkenalan. Kak Leena beri banyak pencerahan tentang solat tahajjud, ukhwah dan pengisian usrah akan datang. InsyAllah, di masa-masa akan datang saya akan kongsikan pengisian dalam Usrah.

Antara yang dibincangkan dalam usrah ialah tentang buku Apa Erti Saya Menganut Islam karangan Ustaz Fathi Yakan

Selain buku ini, kami akan berkongsi satu hadis setiap kali perjumpaan. Mengikut giliran.

Tersangatlah indah bila kita ini 'diperingatkan' Allah melalui kawan-kawan. Kadang-kadang, bukan kita tak tahu tentang sesuatu hadis itu, tapi hati seperti 'kering' je bila membacanya seorang diri. Namun, bila disampaikan oleh orang lain, dengan olahan dan sentuhan pengalaman masing-masing barulah hati ni ada rasa sesuatu.

Seronok benar usrah ini. Bila fikir-fikir semula, bagi sesiapa yang nak mula berhijrah mencari Islam, cubalah sedaya-upaya yang mungkin mencari kumpulan usrah. Sebabnya, kita ada kawan untuk buat perubahan.

Bila kita seorang, kita tidak kuat. Dan mungkin banyak persoalan yang nak kita tanyakan tapi tiada tempat untuk kita luahkan. Kadang-kadang juga cabaran dari sekeliling juga akan buat iman kita sedikit goyah, jadi bila ada kawan, kita ada sumber kekuatan.

Bagi kawan-kawan yang perlukan kumpulan usrah atau mencari-cari Kumpulan Usrah, nanti bolehlah bertanyakan kepada Sister Farwina melalui emelnya farwynafaroque@gmail.com.

Dengan menyertai  usrah, moga-moga Allah beri keizinan untuk kita beroleh lebih banyak kebaikkan....
insyAllah