Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Tuesday, March 25, 2014

HADIAH HARIJADI ANAKKU

Subhanallah..

Sungguh tidak saya sangka bertemu nilai pendidikan melalui perkongsian Blogger Saiful Nang baru-baru ini.

Di saat zaman ibu bapa Generasi-Y yang rata-rata  kelihatannya mampu memenuhi kehendak anak-anak mahukan itu dan ini, mujur masih ada ibu bapa yang 'tabah hati' agar mendidik anak-anak agar mengenal erti kesusahan dan berdikari.

Pernah Ustaz Hasrizal mengatakan, ibu bapa zaman moden sangat memusuhi kesusahan. Mereka sangat risau anak-anak merasa susah sehingga semua kehendak anak-anak dituruti.

Setiap orang punya cara dalam membentuk dan melakar 'kain putih' yang diamanahkan Allah.. 

Namun, sebelum berkehendakkan anak-anak yang bergred 'Mukmin Profesional' maka, ibubapa harus terlebih dahulu menjadi lebih lagi menjadi 'Mukmin dan Profesional' nya...

Blogger Saiful Nang juga saya lihat menerapkan 'Takrir' dan 'Taklim' dalam membentuk jiwa dan minda anak-anaknya seperti yang pernah saya kongsikan di entri Perhimpunan Keluarga (Roll Call)

Sungguh, peranan Ibu Bapa, memang tak mudah!
Semoga jadi peringatan kepada saya untuk terus berani menambah satu lagi peranan Khalifah-NYA, mencontohi kehebatan sebagai ibu seperti  Huma Hatun, ibunya kepada Sultan Al Fateh dan Fatimah binti Al Hasan, ibunya kepada Imam Syafie.


--------------------------------------------------------------
HADIAH HARIJADI ANAKKU

Anak pertama saya bernama Orked. Lahir pada 20 Ogos 2008. Permata hidup saya dan isteri. Masih teringat panggilan telefon dari isteri mengatakan Orked jatuh dari walker dan dikejarkan ke hospital dan menerima 5 jahitan di dahi cukup buat jantung terasa nak gugur. Anak ini mahu kami jadikan istimewa sekali.

Sudah 5 tahun berlalu, saat kelahiran Orked. Dalam hati saya telah saya fikirkan biarlah anak ini membesar menjadi pembela dan serikandi agama, nusa & bangsa. Semenjak umur 2 bulan, Orked diletakkan di bawah penjagaan ibu-ibu, bapa-bapa dan adik beradik asnaf dan yatim di RUmah Pengasih Warga Prihatin setiap hari dan hanya pulang ke rumah pada malam hari sahaja. Saya menerima tentangan dari beberapa orang rapat saya mempersoalkan mengapa saya korbankan kehidupan anak itu di tempat anak yatim dan asnaf yang serba kekurangan itu?

Saya tetap berpegang, untuk anak ini belajar menjadi yang istimewa. Jika pembentukannya sama seperti orang lain, masakan ia mampu jadi pembela luarbiasa kelak. Tiada Barbie Doll, Hello Kitty, Dora, Barney dan apa-apa lagi ikon kanak-kanak yang menjadi aksesori permainan Orked. Hanya mainan terpakai sahaja yang ada.

Zaman kanak-kanak Orked dan rakannya seperti telah berakhir dengan cepat. Orked kata dia nak jadi "Kakak Besar". Dalam roll call dan juga ikrar harian, Orked sering memberitahu yang ia mahu cepat-cepat besar dan menjadi seorang yang hebat pada masa akan datang. Orked kadangkala nak jadi seorang Doktor, kadangkala nak jadi seorang Pensyarah seperti ibunya dan adakala nak jadi seorang usahawan seperti bapanya. Tetapi apapun cita-citanya, apabila ditanya apa yang mahu dibuat dengan kerja-kerja itu, Orked menjawab Orked mahu TOLONG ORANG SUSAH.


JIWA SUKARELAWAN

Terus terang, ia bukan perkara mudah untuk saya sendiri mendapatkan sedikit jiwa sukarelawan yang sanggup bersusah payah untuk orang lain ini. Ia terbentuk dari ibu dan juga ayah saya. Saya akui juga tidak mudah untuk saya didik isteri saya untuk mendapatkan jiwa sukarelawan seperti sekarang. Ia berlaku peringkat demi peringkat. Rupanya, anak saya mendapatkannya dengan mudah semenjak dari kecil lagi melalui lingkungannya di Prihatin.

Hadiah Harijadi ke-5 ini, Orked hanya minta diizinkannya untuk menyerahkan kesemua duit raya dan tabungannya itu kepada Mak Sofiah Wali (salah seorang ibu asnaf di Prihatin) bagi menampung kos pembedahan lutut beliau.

Sebagai bapa, saya tersentuh dengan izin yang diminta itu. Apa lagi yang saya mahukan dari seorang anak? saya ada harta yang cukup, saya mampu berikan anak saya kemewahan tetapi jiwa murni atas niat membantu orang lain sehingga berhabis-habisan itu satu perkara yang paling indah dalam hidup saya.

Saya mampu bawa Orked ke Disneyland setiap tahun, saya mampu bawa Orked melancong ke luar negara, saya mampu bawa Orked membeli belah pakaian berjenama, saya mampu belikan koleksi Mattel Barbie Doll, saya mampu bawa Orked ke Kidzania setiap minggu, saya mampu bawa Orked makan makanan terbaik di Kuala Lumpur tetapi jiwa luhur begitu tak mungkin saya dapati pada diri anak kecil itu jika saya berikan kesemua yang saya sebutkan itu.

Orked hanya mengikuti rombongan berziarah Warga Emas di Melaka, Perak dan Selangor sementara rakan yang semampu bapanya sedang bercuti di Disneyland. Orked pakai pakaian dari kotak-kotak yang disumbangkan oleh orang ke Prihatin sebagai pakaian yang disukai (jika dibelikan yang elok dan baru, dia jadi malu kerana tak sama dengan rakan lain), Orked makan nasi kawah beras hancur bersama anak-anak yatim dan asnaf yang daif ketika rakan semampunya sedang menikmati makanan di McDonald's dan A&W. Memang sebagai bapa saya kena tahan hati dengan semua itu.

Orked berkawan dengan orang-orang kurang bernasib baik dan saya bersyukur, itulah sumber keprihatinan Orked. Lingkungan Orked bukan kemewahan harta, permainan, baju berjenama tetapi kasih sayang dan ilmu.

Sebesar 5 tahun juga, Orked sudah kenal nilai wang ringgit. Tetapi saya bersyukur kerana Orked lebih menilai kemanusiaan berbanding nilai ringgit itu untuk dirinya. Orked saya didik menabung dari umur 3 tahun dan saya berikan Orked inspirasi untuk dia kumpulkan wang bagi membeli sesuatu yang dia mahukan. Orked mahukan sekeping puzzle besar 1000 potongan yang berharga lebih RM100. Saya mampu belikannya tetapi saya mahukan Orked merasakan sendiri itu adalah hasil simpanannya sendiri.

Benar, saya mampu mendidik anak saya menabung dan berjimat, tetapi saya lebih bersyukur kerana pelajaran yang terbesar bukan hanya sikap menabung itu. Saya terlupa ajarkan Orked sesuatu yang lebih berharga sehingga ia terjadi sendiri di hadapan mata saya. Selepas izin diberi, Orked dan sekumpulan kawan sebayanya di Prihatin membawa wang tabungan masing-masing dan membuat penyerahan kepada Mak Sofiah yang akan menjalani pembedahan keduanya minggu hadapan.

Ketika itu saya sedar, dan saya senyum dan tidak salahlah saya meletakkan anak saya membesar di Rumah itu. Sebuah rumah yang kelihatan kekurangan sarananya tetapi kaya dengan kasih sayang. Antara impian peribadi dan kasih sayang, mereka pilih kasih sayang. Saya mahu Orked begini. Jikalah Orked memilih untuk kemahuan peribadi berbanding kasih sayang, saya rasa hampir pasti saya dan isteri akan mengakhiri hayat di rumah jagaan orang-orang tua. Tetapi jika Orked meletakkan kasih sayang melebihi kepentingan peribadi, saya dan isteri mampu tarik nafas lega.

Air mata mengalir melihat proses kedewasaan anakku yang baru berusia 5 tahun pada hari ini. Hanya satu hadiah harijadi yang diminta sebelum harijadinya. Bukannya permainan mahal, bukannya kek bertingkat, bukan juga trip ke Disneyland tetapi HANYA keizinan untuk memberikan keseluruhan tabungannya kepada orang yang lebih memerlukan. Walaupun tindakan itu terpaksa mengorbankan impiannya sendiri.
Saya hanya mampu ajar Orked menabung, tetapi di Prihatin, Orked belajar tentang nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Kita kadangkala lupa, dunia jadi huru hara apabila "Kasih sayang" menjadi lebih murah berbanding "agenda peribadi".

SAIFUL NANG
Daddy Orked.

Sumber Facebook Saiful Nang




Thursday, March 13, 2014

LOST N FOUND DI JEPUN


Rakyat Jepun sangat berbangga dengan sifat amanah.

Mereka sering menyebut 'Nothing get lost in Japan'.

Inilah moto meraka dan selalu dilaungkan. 'Tiada yang hilang di Jepun'.

Mereka sangat yakin dengan sistem dan bangsa mereka. Yang mana, barang yang hilang akan dijumpai, takkan hilang.

Kerana itu kotak 'Lost and Found' disediakan di kawasan atau stesen kereta api. Barang yang ditemui akan diletak dalam kotak itu.

Di peringkat sekolah rendah lagi, anak-anak kecil di Jepun terdidik dengan sifat amanah. Yang mana, setiap barang yang dijumpai akan dikumpul di suatu tempat bagi memudahkan ia dijumpai semula oleh pemilik.



Namun, di Malaysia sendiri, jika ada kehilangan barang, dimana anda akan mencarinya??

Polis sendiri tidak dapat menolong... 

Sedangkan Islam mempunyai sistem yang dinamakan 'Luqatha'. Dalam ilmu fekah Imam Malik menyebut, barang yang dijumpai perlu dijaga selama setahun. Tidak boleh digunakan, dan ia perlu diisytiharkan! Selepas setahun barang itu miliknya atau hukumnya berubah.
Hukum Fekah ini telah diabaikan di banyak negara Islam... 

Islam telah menyediakan jalan dan sistem terbaik untuk kepentingan bersama..
Tapi Masyarakat Jepun lebih Islam dari Orang Islam sendiri.




Entri kali ini masih lagi tentang Rancangan al Khawater

Episod kali ini dimulakan dengan ayat.. 

"Kami bukan ke Jepun untuk memuja mereka, tetapi untuk mengambil iktibar"

Topik kali ini Allah ingatkan saya kepada hadis ini Dari Abu Hurairah ra, Nabi Solallahu a'laihi wassalam, bersabda:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”.
(HR. Muslim)
  

Menghormati, Adalah Prinsip Asas Rakyat Jepun

Tahukah sahabat-sahabat bahawa antara budaya asas Masyarakat Jepun adalah memudahkan urusan orang lain..?

1) Medan Selera Mereka dibudayakan supaya membersihkan sendiri meja di restoren selepas makan/minum. Membersihkan dengan kata lain, membawa dulang & bekas makanan dan mengasingkan sisa-sisa di tempat khas. Dan membuang bekas pembalut di tong yang dikhaskan.

Masyarakat Jepun juga diajar supaya mengosongkan sampah sarap dari lebihan sisa makanan mereka sebelum dibuang ke tong sampah. Ini memudahkan sampah itu lebih mudah diurus dan tidak berbau. 

(Sisa makanan yang rosak boleh mendatangkan bau). Sampah juga dibuang ke dalam tong mengikut jenis. Di Restoren-restoren, adalah pemandangan biasa apabila selesai sahaja makan dari anak kecil sehinggalah bapa & mak kepada anak bersama-sama mengemaskan meja di restoren selepas selesai makan.

Tidak kira siapa pun mereka. Semuanya dilayan sama rata.

Hal ini secara tidak lansung memudahkan pelanggan yang seterusnya menggunakan meja itu. Kita sendiri suka dengan keadaan meja yang bersih sekiranya sampai di restoren. Sebagaimana kita mahu dilayan, maka sebegitulah juga kita patut melayan orang lain.


Anjing Juga Berharga ! 

Rakyat Jepun yang membawa anjing keluar di Tempat Awam, mempunyai plastik khas yang digunakan mengutip najis anjing itu. Tuan kepada anjing itu sendiri yang menguruskan najis itu. Tidak di'swastakan kepada DBKL atau pekerja kebersihan.

Apabila seorang wanita ditanya oleh Pengacara..

"Mengapa buat begitu?", (yang merujuk mengurus sendiri najis anjing), Pemilik anjing itu hanya ketawa.

Dia hairan kenapa ditanya begitu. Bagi mereka tidak patut ada soalan begitu kerana...

"Itulah cara yang beradab" Kata wanita itu.

Tambah wanita itu lagi "Bayangkan jika ada orang yang terpijak najis itu sebelum ia dibersihkan.."

Mereka sangat bertanggungjawab. Dan hampir setiap orang Jepun memiliki sikap ini.

Perkara yang benar, hanya tersebar jika menjadi kebiasaan... 
Adakah maknanya orang Jepun ini ibarat Malaikat dan sempurna? 
Adakah bermakna tiada seorang pun orang Jepun pengotor? Ada...

Tapi hanya segelintir kecil yang bersikap begitu. Dan kebanyakan orang Jepun berada di landasan yang betul (kebetulan seiring dengan hadis Rasulullah pula tu)


Jurutera Kesihatan (Sanitary Engineer).

Menghormati setiap orang, tidak kira apa pun jua status Di Jepun, orang yang membersihkan kawasan sampah sarap tidak dipanggil pekerja am, pekerja pembersihan atau DBKL. Tetapi mereka diberi jawatan Jurutera Kesihatan(Sanitary Engineer).

Adalah aib memanggil dengan 'pekerja kebersihan' di Jepun.

Panggilan ini dianggap penghinaan pada pekerjaan dan tanggunjawabnya !

Jurutera Kesihatan ini bukan sekadar tukang buang sampah tetapi sebagai orang yang bertanggunjawab ke atas kesihatan penduduk.

Lihatlah penghormatan Jepun terhadap sudut meraikan setiap dari status masyarakat. Bukan calang-calang orang mereka yang boleh menjadi Jurutera Kesihatan ini.

Mereka ini perlu lulus ujian lisan dan bertulis dan perlu memperoleh sijil khas untuk membersihkan bandar-bandar mereka. Gaji sebulan Jurutera Kebersihan paling minimum adalah $8000. (Dalam US Dolar). Hampir $100,000 setahun..

Kenapa?

Kerana mssyarakat Jepun begitu menjaga sensitiviti dan kepentingan pekerjaan ini..

Sebagaimana keprihatinan Rasulullah solallahu a'laihi wassalam terhadap orang yang menjaga kebersihan. Ada seorang wanita yang menjaga kebersihan masjid.

Wanita itu kemudiannya tidak muncul selama sehari atau dua hari. Rasulullah berasa hairan dan bertanya tentangnya...

Para sahabat memberitahu bahawa wanita itu telah meninggal dunia. Baginda berkata,

"Mengapa tidak memberitahu aku??" 

Baginda telah pergi ke kubur wanita ini dan mendoakan wanita ini. Baginda mendoakan wanita ini sebagai penghargaan atas usahanya.

Baginda mengingatkan kita bahawa jangan memadang hina pekerjaan-pekerjaan ini.. 

Kita kadangkala tidak perlu menunggu penguatkuasaan Kerajaan, sekolah, NGO untuk mengubah dunia.

Banyak masanya, dengan mengubah rutin diri sendiri lebih mudah diusahakan kerana ia bermula dari dalam ke luar. InsyAllah..


Kita boleh mulakan apa sahaja usaha yang baik. Usaha yang baik dikira sedekah dan sedekah, ganjarannya adalah PAHALA.


AISKRIM, TELEFON BIMBIT DAN TIDAK MEMBAZIR DI JEPUN

Alhamdulillah, sempat tengok Rancangan Al Khawater di saluran TV Al Hijrah balik dari kerja semalam. Kali ini dengan isu "Fikirkan Tentang Orang Lain". 

Begitu tersentuh melihat akhlak masyarakat Jepun dalam kehidupan seharian. Rasa makin tersentuh dan terpukul, apabila, akhlak yang indah dalam masyarakat Jepun itu, telah disebut dan dibuat oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Solallahu a'laihi wassalam.

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “Nabi Muhammad Solallahu a'laihi wassalam  pernah bersabda:

“Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)

Hadis bukan untuk dihafal tetapi adalah untuk diamalkan..

Prinsip  'menyayangi' ini rupanya ada dalam kehidupan orang Jepun..

Antaranya, jika anda di kedai ais krim, anda akan ditanya
"Bila anda akan makan ais krim ini, 15 minit, 30 minit atau 1 jam lagi??"

Mengapa?

Rupa-rupanya ais kering akan diletak bersama-sama dengan ais krim itu mengikut waktu makan anda. Supaya ais krim itu tidak cair.

Ais kering tidak diletak sebarangan. Ini kerana setiap tempoh masa, ada ukuran ais kering yang khusus. Jika anda sebut anda akan makan 15 minit lagi, peniaga akan letak 50 gram ais. Jika 30 minit, 100 gram ais kering...

Hanya melihat perkara kecil seperti aiskrim, wujud prinsip mengutamakan orang lain..


TELEFON BIMBIT

Telefon bimbit di Jepun ada aibnya. Iaitu, aib jika telefon bimbit berbunyi di tempat tertutup. Kita tidak dengar bunyi telefon jika berada di dalam kereta api.

Juga dilarang telefon di kedai makan. Kerana ia kan menganggu orang lain. Dilarang membuka nada dering telefon di tempat tertutup.

Percaya atau tidak di dalam telefon bimbit di Jepun ada beberapa pilihan jenis mode bunyi.
Yang berbeza di Jepun ada tetapan bunyi 'Manner Mode'. Maksudnya 'Situasi akhlak !
Maksudnya senyap.

Mereka tidak setkan mod senyap, tetapi mod akhlak.

Jadi, jika anda berakhlak, anda patut tutup bunyi telefon agar tidak menganggu orang lain.
Inilah sebahagian akhlak di Jepun.

Berlaku baik terhadap orang lain seperti yang anda inginkan untuk diri sendiri.


TIDAK MEMBAZIR

Di kedai Bufet Jepun, dilihat rakyat Jepun 99% mengambil dan makan mengikut kemampuan. Mereka menghabiskan makanan kerana menghargai nikmat. Kerana itu tiada pembaziran.

Tiada sisa makanan di pinggan. Betapa mereka 'sedang mengambil berkat makanan mereka'..

Masakan tidak, setiap makanan yang diberi Allah itu hatta sebutir nasi ada keberkatannya, cuma kita tidak tahu bahagian yang mana yang berkatnya tu... Kerana itulah jangan membazir.

(Kita makin menghadiri Ramadan. Di siang hari kita mampu menahan diri dari makan dan minum. Namun menjelang petang, bazar dan makanan hampir merosakkan pahala puasa kita. Saya juga mengingatkan diri sendiri, agar sedaya upaya bersederhana ketika berbuka puasa Ramadhan kali ini...)

Teringat saya kepada kata-kata Ustaz Nasa yang dikenali memperkenalkan kaedah Al furqan. Menurut beliau hanya dengan al quran dapat mengubah sesuatu bangsa. Juga dapat mengubah manusia.

Lihat bagaimana bangsa arab Jahiliah..

Para sahabat yang pada zaman Jahiliah bergelumang dosa, diangkat menjadi mulia dan Penghuni Syurga kerana di hati mereka ada al quran.

Al quran juga tidak mengenal bangsa. Mana-mana manusia yang beriman dan mengamalkan al quran, maka akan hebatlah akhlaknya..  

Contohnya Sultan Muhammad Al Fateh. Dia bukan dari 300 kurun terbaik Nabi, dia bukan sahabat Nabi, dia juga bukan keturunan Nabi dan  dia bukan berbangsa Arab. Tetapi, dengan  berpegang teguh dengan Al quran dan hadith mengangkat Al Fateh manusia unggul  dan disebut-sebut sehingga ke hari ini.

Kerana itulah adanya Rasulullah solallahu a'laihi wassalam untuk kita semua tiru akhlak Baginda sehingga ke saat ini..

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Alquran." (HR Muslim).


Tak dapat buat semua, jangan ditinggal semua...

Semoga kita belajar sedikit akhlak dari rakyat Jepun, mudah-mudahan ia lebih membuka mata betapa indahnya Islam..

Islam sudah sedia Indah, maka kita yang sebenarnya yang memerlukan Islam...